Thursday, March 19, 2015

Kaji tubuh Kelab 30 Peratus - Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 15 Sept. 2014

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan Kelab 30 Peratus bagi meningkatkan bilangan wanita di peringkat pembuat keputusan.
Beliau berkata, kelab seum-pama itu telah diwujudkan di beberapa negara dengan penglibatan pemimpin-pemimpin perniagaan dari syarikat besar dan memperkenalkan inisiatif pementoran berikutan manfaat yang diperoleh menerusi penubuhannya.
"Inisiatif ini berjaya menonjolkan wanita-wanita berkebolehan kepada pihak pengurusan atasan untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan tinggi di sesebuah organisasi.
"Saya difahamkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) sedang meneliti kemungkinan bagi Malaysia mempunyai kelabnya sendiri menerusi mekanisme dan acuan kita," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Wanita 2014 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan anugerah khas 'Life At Work' kepada Shell Malaysia, Kumpulan Maybank, PepsiCo Malaysia, Pusat Perkhid-matan BASF Asia-Pacific, Siemens Malaysia dan PwC Malaysia sebagai mengiktiraf majikan yang komi-ted dalam memastikan tempat kerja mesra wanita serta keluarga.
Menurut Muhyiddin, kerajaan yang menyedari bahawa ramai wanita bekerja dalam sektor swasta telah menggubal dasar dan undang-undang serta menyediakan insentif bertujuan meningkatkan guna tenaga golongan itu selain memastikan mereka terus kekal dalam pekerjaan sehingga berupaya mengisi jawatan-jawatan tinggi.
Bagi sektor awam pula, kata beliau, Malaysia mempunyai kumpulan dan bilangan pe-mimpin wanita yang mampu membawa perubahan kepada cabaran serta kesaksamaan gender dengan jumlah golongan itu memegang jawatan tinggi diyakini terus meningkat menerusi usaha-usaha dijalankan.
"Pada tahun lalu seramai 205,557 orang atau 62 peratus daripada jumlah pegawai awam di peringkat pengurusan dan profesional adalah wanita. Saya berharap semua pemimpin wanita yang memegang jawatan tinggi dalam sektor awam terus menjadi pencetus inspirasi kepada pegawai awam wanita lain,'' katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyediakan peluang dalam bidang keusahawanan seperti skim pinjaman mudah kepada usahawan wanita yang menceburi perusahaan kecil dan sederhana, program hibrid di samping melatih ramai usahawan berjaya di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara-Meningkatkan Taraf Isi Rumah Berpendapatan Rendah (NKRA-LIH).
"Program-program pementoran perlu diteruskan kerana membolehkan proses perkongsian pengetahuan, kepakaran, kemahiran dan pengalaman melalui dialog serta pembelajaran secara kerjasama dijalankan,'' ujar beliau.
Sementara itu, ketika sesi soal jawab pada majlis tersebut, Muhyiddin berkata, beliau ingin melihat golongan wanita negara ini menjadi peneraju dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, pembangunan sosial, kebudayaan dan muzik agar ia selari dengan dasar kerajaan yang mahu mereka berada di hadapan.
Ditanya mengenai penyertaan lebih ramai wanita dalam barisan Kabinet seperti yang dilakukan oleh kerajaan Jepun dengan melantik lima wanita bagi menganggotai kabinet baharu negara tersebut baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya juga mahu melihat perkara seperti itu berlaku dan turut menjadi cabaran kepada golongan tersebut.

No comments:

Post a Comment